
Pemantauan & Menghendap Dalam Talian
Pemantauan dalam talian berlaku apabila seseorang memantau aktiviti digital anda—termasuk siaran, mesej, atau pergerakan dalam talian anda. Ini sering digunakan untuk mengganggu atau mengawal wanita, remaja perempuan dan individu LGBTQ+.
Perbuatan menghendap juga boleh berlaku dalam ruang digital, menyebabkan mangsa rasa tidak selamat walaupun di rumah sendiri.
Apa Yang Boleh Anda Lakukan

Taksir Risiko Anda
Jika anda berasa tidak selamat, percayalah pada naluri anda. Pertimbangkan untuk berpindah buat sementara waktu atau maklumkan lokasi anda kepada seseorang yang anda percayai melalui saluran yang disulitkan.

Laporkan
Menghendap ialah satu jenayah di Malaysia. Jika anda memilih untuk membuat laporan, mempunyai dokumentasi seperti bukti boleh sangat membantu.
Nota: Melaporkan mungkin nampak mudah, tetapi boleh menjadi membebankan bagi mangsa. Tidak mengapa untuk meminta bantuan daripada rakan yang dipercayai bagi mengelakkan trauma berulang.
Tidak pasti cara untuk membuat laporan?

Sekat & Lindungi Akaun Anda
Putuskan semua hubungan dengan menyekat penghendap daripada media sosial, aplikasi mesej dan e-mel anda. Kemas kini tetapan privasi, dan lindungi akaun dengan kata laluan kukuh serta pengesahan dua faktor.
Ketahui cara mencipta dan mengekalkan kata laluan yang kukuh melalui Security in a Box dan Surveillance Self-Defence.

Dokumentasikan Segala-Galanya
Simpan rekod semua mesej, ancaman dan kejadian. Tangkapan skrin yang disertakan dengan cap masa boleh menjadi bukti penting jika anda membuat laporan kemudian. Jika ini terasa terlalu berat, minta bantuan daripada seseorang yang anda percayai.
Ketahui Hak Anda
Seksyen 507A Kanun Keseksaan (Undang-undang Anti-Stalking)
Seseorang dianggap melakukan kesalahan menghendap jika dia, secara berulang kali melalui apa-apa perbuatan gangguan, berniat atau sepatutnya tahu bahawa perbuatan itu menyebabkan tekanan, ketakutan atau kebimbangan kepada seseorang berkaitan keselamatannya.
Akta Gangguan Seksual 2022
Akta ini menghukum sebarang perlakuan gangguan seksual yang tidak diingini dalam apa jua bentuk—sama ada lisan, bukan lisan, visual, gerakan atau fizikal—yang ditujukan kepada seseorang dan yang secara munasabah dianggap sebagai ofensif, memalukan atau mengancam kesejahteraan individu tersebut. Ini termasuk gangguan seksual yang dilakukan atau dibantu melalui teknologi digital.